Wednesday, May 12, 2010

SOLAT DI RUMAH YANG ADA ARAK

Assalamualaikum w.b.t...baru-baru ini,saya pernah diajukan satu soalan daripada seorang sahabat saya..sama ada bolehkah kita solat di tempat yang terdapat arak di dalam kawasan tersebut.Sekaligus saya melihat perkara ini,saya mengatakan ini adalah satu persoalan yang tidak perlu timbul kerana ia adalah perkara yang remeh dan tidak perlu diwas-waskan.Walaubagaimanpun,Alhamdulillah..setelah meneliti perkara ini dengan lebih lanjut dan mendalam,saya dapati bahawa dengan timbulnya pemikiran dan permasalahan seperti ini,ia sebenarnya menunjukkan bahawa umat Islam pada hari ini tidak hanya berpegang pada cakap-cakap kosong sahaja,tetapi mereka ingin dan perlu kepada hujah-hujah yang kuat.Tahniah saya ucapkan kepada beliau yang telah menanyakan soalan ini kepada saya.Sesungguhnya agama Islam itu ialah agama yang berpaksi pada hujah dan dalil daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah.Apa-apa sahaja yang dikatakan sekalipun ia menyerupai perkara agama,selagi mana ia tidak disokong dengan hujah,maka ia bukanlah Islam.

Sebelum kita meneliti lebih lanjut tentang permasalahan ini,saya ingin mengingatkan kepada diri kita supaya kita dapat melihat perkara ini dengan minda yang terbuka dan selari dengan ajaran Islam yang sebenar,bahawa "Islam itu mudah".Setelah kita dapat menyematkan dengan kemas prinsip ini dalam pemikiran,barulah saya akan membuka pintu perbincangan tentang ini.Mari sama-sama kita renung firman Allah: يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Pengertian: "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran"(Al-Baqarah:185)

Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauiziyyah(meninggal 751H) juga pernah mengatakan bahawa:"Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat.Syariah Islam itu segalanya keadilan,kebaikan dan hikmat.Maka setiap perkara yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman,daripada rahmat kepada yang berlawanan dengannya,daripada kebaikan kepada kerosakan,daripada hikmat kepada sia-sia,maka ia bukan syariat Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya."


HUJAH PERTAMA

"Adakah arak itu najis?"

pendapat pertama:

Pendapat yang pertama menyatakan bahawa khamar itu adalah najis. Ini adalah merupakan pendapat jumhur ulama, di antaranya adalah imam mazhab yang empat, dan pendapat ini dipilih oleh sheikhul Islam Ibnu Taimiyah. Hujah mereka adalah firman Allah s.w.t.:يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Pengertian:Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan.Menurut mereka, maksud kalimah rijs di situ adalah membawa najis. Maka, dengan itu mereka menyatakan bahawa kenajisan arak itu adalah termasuk kategori najis hissiyah (najis dari sudut ain yang boleh dikesan dengan pancaindera).

pendapat ke-2:

khamar itu suci (tidak najis). Ini adalah pendapat Rabi’ah, al-laits, al-Muzani, dan selainnya dari kalangan salaf. Dan ini adalah pendapat yang dipilih oleh asy-Syawkani, ash-Shan’ani, Ahmad Syakir, dan al-Albani rahimahullah. Inilah pendapat yang rajih berdasarkan alasan-alasan sebagaimana yang akan dijelaskan.Pendapat yang menyatakannya sebagai suci dan tidak najis adalah berdasarkan beberapa alasan-alasan berikut,

1 – Tidak ada keterangan dalam ayat tersebut yang menunjukkan najisnya khamar. Hal itu dapat dilihat dari beberapa sudut,

- kata rijs adalah musytarak. Kalimat/perkataan ini memiliki pengertian yang sangat banyak. Di antaranya adalah kotoran, suatu yang diharamkan, keburukan, siksa/azab, laknat, kufur, kejahatan, dosa, majis, dan lain-lain. (Rujuk: an-Nihayah, Ibnul Atsir, Lisanul ‘Arab dan Mukhtarus Shihah, juga kitab-kitab tafsir)

- Menurut Ibnu Abbas, makna rijs adalah sukhth (dibenci). Manakala Ibnu Zaid menyatakan, rijs adalah syarr (keburukan).- Kata rijs disebutkan di dalam al-Qur’an pada beberapa tempat. Namun, tidak ada satu pun dari ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa rijs membawa maksud najis.

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, perjudian, berhala dan menilik nasib itu adalah perbuatan rijs (keji) termasuk amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat keberuntungan!”. (al-Maidah, 5: 90)

“Begitulah Allah menimpakan rijs (siksa) kepada orang-orang yang tidak beriman”. (al-An’am, 6: 125)

“Kerana sesungguhnya mereka itu adalah rijs (najis) dan tempat mereka adalah Jahanam”. (at-Taubah, 9: 95)

“Maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang rijs (najis) itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta”. (al-Haj, 22: 30)

- Ketika khamar dalam ayat itu disebutkan bersama dengan berjudi dan mengundi nasib, maka ini merupakan indikasi (petunjuk) yang kuat yang memalingkan makna rijs kepada selain makna najis. Demikian juga dalam firman-Nya:

“Maka berpalinglah dari mereka (orang-orang yang kafir/ingkar); Kerana sesungguhnya mereka itu adalah rijs (najis) dan tempat mereka adalah Jahanam”. (at-Taubah, 9: 95)

Kerana ada dalil-dalil shahih yang menunjukkan bahwa tubuh orang musyrik itu tidak najis.- Ayat-ayat (dalil-dalil) yang menunjukkan pengharaman khamar tidak pun menunjukkan kenajisannya, tetapi benda yang najis sudah pasti adalah benda yang haram, dan benda yang haram belum tentu ia membawa maksud kepada najis fizikalnya. Sebagai contohnya, diharamkan memakai sutera dan emas bagi lelaki, padahal kedua-duanya benda yang suci menurut syar’i dan ijma’.

- Kata rijs pada ayat tersebut diikat dengan perkataan “termasuk amalan syaitan”. Maka, ia adalah rijs amali (perbuatan yang najis), yang bererti sangat buruk, diharamkan atau dosa. Bukanlah bererti najis ‘aini, sehingga meletakkan keududukan (hukum) benda-benda yang disebutkan dalam ayat tersebut sebagai najis.

2 - Dalam hadis tersebut disebutkan, daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah memerintahkan seseorang untuk mengumumkan: “Ketahuilah sesungguhnya khamar telah diharamkan.” “Aku pun keluar rumah dan menumpahkannya sehingga mengalir di jalan-jalan kota Madinah.” (Hadis Riwayat Bukhari, 2332. Muslim, 1980)

Dalam hadis yang lain, yang mengisahkan tentang seorang laki-laki yang membawa dua buah kantung air terbuat dan kulit yang di dalamnya terisi khamar. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,“Sesungguhnya Allah mengharamkan meminumnya dan mengharamkan menjualnya.” Maka laki-laki itu membuka penutup dua kantung itu lalu menumpahkannya hingga habis isinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1206)

Seandainya khamar itu najis, pastilah Rasulullah memerintahkan untuk menyiramkan air pada tanah yang terkena khamar tersebut untuk mensucikannya. Sebagaimana Rasulullah memerintahkan untuk menuangkan air pada air kencing seorang Arab badui sebagaimana dalam suatu hadis. Dan tentunya, Rasulullah akan memerintahkan mereka untuk menjauhinya.Dan kalaulah khamar itu najis, tentulah Rasulullah memerintahkan pemilik dua kantung air itu untuk mencucinya.

3 - Perlulah difahami bahawa hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci. Tidak dapat dipindahkan hukumnya kecuali dengan dalil yang sahih, dan dalam hal ini tidak ada dalil yang menunjukkan kenajisannya. Maka tetaplah ia pada hukum asalnya.

Pada pengamatan saya,apabila diteliti kedua-dua pendapat tadi, saya lebih suka jika kita mengambil pendapat yang ke-2 kerana:

1.Hujah-hujah yang dikemukakan lebih kuat dan diyakini.
2.Ia adalah pendapat yang diambil daripada ulama' salaf yang lebih dekat masa kehidupan mereka dengan nabi.Jadi,pemahaman mereka terhadap syariat tentulah lebih baik.
3.Pada zaman yang serba moden ini,pendapat yang ke-2 tampak lebih memudahkan selari dengan konsep "kemudahan" dalam Islam.

Tambahan pula,jika benar sekalipun arak itu najis pada fizikalnya,selagi ia tidak terkena pada pakaian,tidak menjadi masalah.


HUJAH KE-2

"Jadi,bolehkah solat di tempat yang ada arak?"

Berdasarkan hujah pertama,ia mengatakan bahawa arak itu adalah disifatkan sebagai laknat,kufur dan kejahatan.Tetapi,adakah disebabkan kehinaan itu menyebabkan terlarangnya kita daripada melakukan solat di sesuatu tempat yang adanya arak? Mari kita sama-sama lihat pada hadith yang berikut:

Telah datang daripada Nabi Muhammad SAW dalam satu hadis yang bermaksud: Aku telah diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelum ini. Dan disebut lima perkara tersebut- Maka Nabi bersabda: Dijadikan kepada ku bumi ini sebagai masjid dan tempat yang bersih. Maka mana-mana lelaki diantara umat ku yang hendak melakukan solat (di atas mana-mana bumi) maka lakukannya. [ dalam Sohihaini- Bukhari & Muslim- daripada hadis Jabir]

Saya juga ingin mengajak agar kita sama-sama berfikir,adakah jika kita beranggapan bahawa tidak boleh kita solat di tempat yang ada arak,itu akan menunjukkan konsep "kemudahan" dalam Islam?atau adakah ia hanya menunjukkan bahawa Islam itu susah lagi menyusahkan?fikir sajalah bagaimana kita hendak solat di bilik-bilik hotel yang sesetengahnya apabila kita membuka peti ais ada sahaja tin-tin arak di dalamnya.Ataupun yang lebih perit lagi jika kita menumpang di rumah non-muslim yang ada menyimpan arak di dalamnya.Adakah kita perlu keluar dari rumah dan sembahyang di luar.Sudah tentu susah sekali untuk kita solat. Sesiapa pun yang mempunyai akal yang sejahtera tidak akan dapat menerima perkara seperti itu.Sesunngguhnya syaitan itu sentiasa mahu mewujudkan perasaan benci dalam diri kita untuk melakukan ibadat.Oleh itu,mereka akan berusaha mewujudkan kepayahan dalam kita beribadat.

Akhir kata,Allah mahukan kemudahan untuk kita,tetapi syaitan mahukan kesusahan untuk kita..Cakap sape yg kite nk ikut?Fikir-fikirkanlah..Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu berpunca dari diri saya yang lemah ini.Wallahualam..Barakallahufiikum Insyaallah..Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment